Gambaran budaya Buaya

Dalam mitos dan budaya rakyat

Ukiran dewa Mesir Sobek

Buaya mendapat peranan penting dalam mitos dan legenda pelbagai budaya serata dunia, malah mungkin telah mengilhami kisah-kisah makhluk naga.[129] Dalam agama Mesir Purba, Ammit si syaitan pelahap roh-roh pendosa, dan Sobek si dewa kuasa, perlindungan dan kesuburan, semuanya digambarkan berkepala buaya. Ini mencerminkan pandangan masyarakat Mesir purba bahawa buaya ialah pemangsa yang menggerunkan dan juga sebahagian penting dalam ekosistem Sungai Nil. Buaya adalah antara haiwan-haiwan yang dimumiakan oleh orang Mesir.[130] Buaya juga dikaitkan dengan pelbagai dewa air oleh masyarakat Afrika Barat.[131] Ketika Empayar Benin, buaya dianggap "mata-mata air" dan melambangkan kuasa raja atau oba untuk menghukum pesalah.[132] Makhluk Leviathan yang dihuraikan dalam Kitab Ayub (Bible) mungkin berasaskan buaya.[133] Di Mesoamerika, suku Aztek mempunyai dewa kesuburan berupa buaya Cipactli yang melindungi tanaman. Dalam mitos Aztek, dewa tanah Tlaltecuhtli kadang-kadang digambarkan sebagai raksasa berupa buaya.[134] Kaum Maya juga mengaitkan buaya dengan kesuburan dan kematian.[135]

Buaya gharial terdapat dalam cerita rakyat India. Dalam satu cerita, sang gharial berkawan dengan seekor monyet apabila si monyet memberinya buah-buahan. Isteri sang gharial menuntut suaminya untuk membawa si monyet pulang untuk dimakan kerana percaya bahawa buah-buahan itu memaniskan jantung si monyet. Sang gharial mula-mula akur dan cuba mengumpan si monyet ke tempat tinggalnya, tetapi akhirnya berterus terang kepada si monyet, maka putuslah persahabatan mereka.[136] Kisah-kisah seumpamanya pun terdapat dalam legenda pribumi Amerika, apalagi dalam cerita rakyat Afrika-Amerika tentang seekor aligator bersama Br'er Rabbit.[137]

Dalam cerita rakyat Melayu, terdapat kisah mengenai sekawan buaya yang diperdaya oleh Sang Kancil. Sang Kancil mahu menyeberangi sungai untuk makan buah-buahan di pokok seberang, tetapi Sang Buaya menunggu di tebing sungai mahu makan Sang Kancil. Maka Sang Kancil meminta semua buaya untuk berbaris merentas sungai supaya ia dapat mengira jumlah mereka bagi pihak raja, malah memohon mereka jangan makan dirinya sambil kiraan dibuat. Kemudian Sang Kancil memijak-mijak kepala semua buaya sambil membilang hingga habis. Sebaik tiba di seberang, Sang Kancil berterima kasih kepada buaya kerana membantunya menyeberangi sungai lalu makan buah-buahan. Sang Buaya malang sekali kerana buaya-buaya lain marah padanya kerana membiarkan Sang Kancil memperdaya mereka semua.[138] Adanya kisah dari Timor Leste mengenai seorang budak yang menyelamatkan seekor buaya gergasi yang terkandas. Sebagai balasan, si buaya melindungi si budak sepanjang umur, dan apabila ia mati, belakangnya yang berabung bersisik menjadi bukit-bukau Timor.[139] Ada pula sebuah kisah Pribumi Australia mengenai leluhur buaya yang membolot api untuk dirinya sendiri, hinggalah pada suatu hari, seekor "burung pelangi" mencuri kayu api daripada si buaya untuk diberikan kepada manusia, dan oleh sebab itulah buaya hidup dalam air.[140]

Dalam sastera

Buaya dalam gambar Rochester Bestiary, akhir abad ke-13

Sejarawan purba telah memerikan makhluk-makhluk buaya dari catatan sejarah yang awal sekali, biarpun huraiannya banyak mengandungi unsur legenda daripada fakta. Ahli sejarah Yunani Purba Herodotus (c. 440 SM) memerikan buaya secara terperinci, tetapi itu pun kebanyakannya bersifat angan-angan; beliau berhujah bahawa buaya membuka mulutnya untuk membolehkan burung "trochilus" (yang barangkalinya burung kedidi Mesir) untuk masuk dan mencabut semua lintah yang ada.[141] Buaya adalah antara satwa-satwa yang diperikan dalam Rochester Bestiary akhir abad ke-13, berasaskan sumber-sumber klasik, termasuklah Historia naturalis oleh Plinius (c. 79 M)[142] dan Etimologi oleh Isidore dari Seville.[143][144] Isidore berhujah bahawa buaya (crocodilus) dinamakan sempena warna safronnya (Latin croceus, 'safron'), malah berukuran dalam 20 cubit (10 m (33 ka)). Hujahnya lagi, buaya boleh dibunuh oleh ikan berjambul gerigi yang menusuk perutnya yang lembut, malah jantan dan betina bergilir-gilir menjaga telur.[145]

Buaya dikhabarkan meratapi mangsa dalam Bibliotheca abad ke-9 oleh Photios I dari Constantinople.[146] Kisahnya diulangi dalam catatan lanjutan seperti kisah Bartholomeus Anglicus pada abad ke-13.[147] Kisah air mata buaya menjadi meluas pada 1400 apabila pengembara Inggeris, Sir John Mandeville menulis tentang "cockodrills":[148]

"Di negara [Prester John] itu dan seluruh Ind [India] banyaklah cockodrills [buaya] yang berupa ular panjang, seperti yang pernah hamba khabarkan. Pada waktu malam ia menghuni dalam air, dan pada waktu siang pula dalam batuan dan gua. Dan ia tidak makan sebarang daging pada musim sejuk, sebaliknya berbaring seolah-olah bermimpi, sama seperti ular. Ular-ular [buaya] ini membunuh manusia lalu memakan sambil menangis; dan apabila makan ia menggerakkan rahang atas, dan tiadanya lidah."

William Shakespeare menyebut tentang air mata buaya dalam kisah Othello (Babak IV, Adegan 1), Henry VI, Part 2 (Babak III, Adegan 1), dan Antonius dan Cleopatra (Babak II, Adegan 7).

Sang buaya menarik belalai Anak Gajah dalam sebuah kisah Rudyard Kipling dalam himpunan Just So Stories. Ilustrasi oleh Kipling, 1902

Buaya sering muncul dalam cerita kanak-kanak zaman moden. Alice's Adventures in Wonderland karya Lewis Carroll (1865) mengandungi syair How Doth the Little Crocodile,[149] yang menyindir syair moral Isaac Watts, iaitu Against Idleness and Mischief.[150]Dalam novel J. M. Barrie, Peter and Wendy (1911), watak Kapten Hook kehilangan sebelah tangan kepada sang buaya. Maka Hook takut kepada buaya, tetapi diamarkan tentang kehadiran sang buaya oleh detikan jam yang pernah ditelannya.[151]Dalam Just So Stories oleh Rudyard Kipling (1902), Sang Anak Gajah mendapat belalai apabila hidung pendeknya ditarik kuas-kuat oleh Sang Buaya di tebing Sungai Limpopo yang licin. Hidung yang baru dipanjangkan itu membolehkan Sang Anak Gajah untuk memetik buah-buahan daripada menunggu buah gugur, dan banyak lagi perkara berguna.[152] Karya Roald Dahl, The Enormous Crocodile (1978) menceritakan tentang seekor buaya yang berkeliaran di hutan memburu kanak-kanak untuk dimakan dengan mencuba helah demi helah.[153]

Dalam media dan sukan

Buaya merupakan salah satu haiwan yang dijadikan maskot untuk pasukan sukan. Contohnya maskot buaya yang dijadikan maskot pasukan bola sepak Sarawak FA.

Dalam filem dan TV, buaya digambarkan sebagai halangan berbahaya di tasik dan sungai, seperti filem komedi Australia 1986 "Crocodile" Dundee,[154] mahupun raksasa pemakan manusia dalam filem seram seperti Eaten Alive (1977), Alligator (1980), Lake Placid (1999), Primeval (2007), dan Black Water (2007).[155] Sesetengah media telah cuba untuk memberikan gambaran positif dan berpendidikan terhadap buaya, seperti siri dokumentari Steve Irwin, The Crocodile Hunter.[156] Buaya yang tampil dalam animasi termasuklah watak Hanna-Barbera Wally Gator, dan Ben Ali Gator dari segmen Dance of the Hours dalam filem Disney 1940, Fantasia.

Rujukan

WikiPedia: Buaya http://www.newholland.com.au/products/docs/9781741... http://www.publish.csiro.au/pid/7185.htm http://espace.library.uq.edu.au/eserv.php?pid=UQ:9... http://www.abc.net.au/science/articles/2012/04/25/... http://www.american-alligator.com/Crocodiles-and-A... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/289723/i... http://www.crocodilian.com/ http://www.edjameson.com/Endangered%20Animals/page... http://articles.timesofindia.indiatimes.com/2013-0... http://news.nationalgeographic.com/news/2002/06/06...